3.3.09

Revolusi- Masa depan Pekerjaan

REVOLUSI teknologi informasi dan komunikasi (TIK) telah menjanakan transformasi besar-besaran dunia ekonomi termasuk dunia pekerjaan.Dalam masa yang sama, proses transformasi yang berlaku turut menjanakan kebimbangan yang meluas tentang struktur dunia pekerjaan.

Apakah dengan berkembangnya teknologi yang canggih akan menyebabkan banyak sisi-sisi 'manusiawi' pekerjaan akan terhakis dan diambil alih oleh teknologi?Adakah kita sedang menuju tamatnya pekerjaan seperti yang diramal oleh ahli ekonomi Amerika Syarikat, Jeremy Rifkin dalam bukunya The End of Work: The Decline of the Global Force and the Dawn of the Post-Market Era. Beliau berhujah bahawa kita telah sampai ke penghujung jalan.

Kita tidak lagi mencipta pekerjaan dalam industri dan automasi pasti menurunkan bilangan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan. Kualiti kerja dengan itu akan merosot dengan banyaknya. Kebimbangan Rifkin ada kebenaran, kerana sebahagian besar kerja yang secara tradisi dilakukan oleh manusia telah semakin kehilangan, seolah-olah kesemua bentuk pekerjaan boleh dilakukan oleh mesin digital.

Mahaguru pengurusan tersohor, Peter F. Drucker pernah menegaskan bahawa teknologi wujud kerana ia mempermudahkan urusan kerja manusia supaya manusia lebih banyak menumpukan kreativitinya dan mencipta inovasi. Sebaliknya manusia menjadikan teknologi untuk membuat segala-galanya untuk mereka. Akhirnya teknologi menjadi obsesi manusia dan bukannya sebagai alat. Walaupun pandangan Rifkin mungkin popular tetapi agak silap dan perlu dipersoalkan. Sejarah telah menunjukkan bahawa inovasi teknologi sentiasa mewujudkan kerja dengan banyak.

Trend semasa tidak akan menamatkan dunia pekerjaan. Malah, trend sebaliknya berlaku: ekonomi baru yang berteraskan pengetahuan menyediakan peluang yang luas dan lebih jauh memenuhi kehilangan pekerjaan tradisi.Dematerialisasi - perubahan daripada produk material - merevolusikan semua aspek pekerjaan - sifat, organisasi, dan hubungan dengan aktiviti lain.

Fungsinya tidak lagi sekadar pembuatan objek fizikal tetapi juga menangani data, imej dan simbol. Kandungan kerja semakin abstrak. Pekerja mahir perlu lebih tahu banyak tentang matematik."Malahan kerja memerah susu dan pembuatan memerlukan pengiraan, penilaian dan pengawalan," kata pakar perubahan, William Bridges dalam bukunya Jobshift: How to Prosper in a Workplace Without Jobs.

Konsep tentang dunia pekerjaan telah mengalami perubahan bahkan perlu pada pengertian dan kefahaman baru.Menurut Bridges lagi, organisasi dan produk kerja semakin tidak nampak. Kesatuan masa, ruang dan aksi dalam ekonomi industri telah musnah.

Kerja tidak lagi rutin lapan jam sehari, lima atau enam hari seminggu. Ritma baru telah muncul - pergerakan kerja di pasaran kewangan yang tidak pernah sepi, turun-naik kehidupan dalam dunia pertunjukan dan pengeluaran just-in-time yang memerlukan komponen-komponen dihantar beberapa saat sebelum produk sebenar dipasang.

Oleh- Shaharom/kosmo

No comments:

Post a Comment